12 March 2010

BEZA PILIHANRAYA & DEMOKRASI

Yang pertama sekali, kita mestilah faham perbezaan di antara ‘pilihan raya’ dan ‘demokrasi’ itu sendiri. Pilihan raya tidak sama dengan demokrasi dan demokrasi tidak sama dengan pilihan raya. Pilihan raya hanyalah salah satu cara/uslub dalam sistem demokrasi untuk memilih wakil (bukan memilih pemimpin). Manakala demokrasi pula adalah sebuah sistem pemerintahan di mana hak membuat undang-undang berada di tangan manusia. Hukum pilihan raya adalah berbeza dengan hukum demokrasi. Hukum demokrasi jelas haram dalam Islam berdasarkan nas-nas yang qath’i.

SUARA MAJORITI

Seperkara lagi yang perlu difahami dan dibezakan adalah ‘suara majoriti’. Suara majoriti tidak sama dengan demokrasi dan tidak sama dengan pilihan raya. Suara majoriti tidak salah untuk diambil dalam membuat sesuatu keputusan yang bersifat mubah (harus), contohnya majoriti bersetuju melantik A sebagai pemimpin atau majoriti bersetuju untuk pergi ke suatu tempat dengan menaiki bas. Namun suara majoriti akan menjadi haram apabila yang disepakati adalah bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya majoriti bersetuju untuk merejam penzina dengan 6 kali sebatan, atau majoriti bersetuju untuk memenjarakan seorang pencuri, atau majoriti bersetuju untuk menghalalkan sistem perbankan riba.

Dalam aspek menggubal undang-undang, suara majoriti juga menjadi haram walaupun yang dipersetujui (secara majoriti) adalah suatu yang bertepatan dengan hukum syarak. Contohnya majoriti bersetuju untuk gubal undang-undang bahawa solat itu wajib atau puasa itu wajib atau riba itu haram. Ini kerana kewajipan solat dan puasa dan keharaman riba adalah datang dari Allah sebagai Zat Pembuat undang-undang. Jadi, tidak kira sama ada majoriti bersetuju atau tidak, solat tetap wajib dan riba tetap haram. Ia bukan untuk disetujui atau diundi oleh manusia. Ia (hukum syarak) adalah untuk dilaksanakan oleh manusia. Manusia tidak ada sebesar zarah pun hak untuk mencadangkan, apatah lagi menggubal dan mengundi hukum Allah untuk diluluskan secara majoriti.

PENGUBALAN UNDANG-UNDANG

Adapun mengenai penggubalan undang-undang, ia merupakan aktiviti yang tidak dibolehkan (haram) bagi seorang Muslim untuk melakukannya, tidak kira sama ada ia terlibat secara langsung dalam penggubalan ataupun terlibat dalam pengundian (sokong atau tidak), meskipun undang-undang yang digubal itu ‘selari’ dengan hukum Islam yang mulia (sebagaimana dijelaskan di atas). Ini adalah kerana, ketika hukum Islam diambil dan dirujuk, ia didasari dengan dalil syarak yang terpancar dari aqidah Islam yang diwahyukan Allah. Seseorang Muslim tidak dibolehkan membuat undang-undang, tetapi kewajiban mereka hanyalah untuk menerima dan menerapkan syariat Allah sahaja dan bukan yang lain, tidak kira sama ada ia dipersetujui secara majoriti atau tidak. Hukum Allah (apatah lagi hukum kufur) bukan untuk dibuat, diundi dan diluluskan dengan majoriti. Oleh itu, hak untuk membuat undang-undang (hukum) hanyalah terletak pada Allah semata-mata. Tidak ada sesiapapun yang berhak meletakkan dirinya setara dengan Allah ‘Azza wa Jalla dalam membuat undang-undang. Allah berfirman:

“…hanya Allah jualah yang menetapkan hukum…..”
[TMQ Al-an’aam (6) :57]

No comments:

Post a Comment